Tuesday, July 5, 2011

Sungguh menyayat hati Nurrahayu di bunuh, dikerat dan di bakar

Manusia begitu kejam sekali. Saya mengenali bapanye Haji Qomarodin yang tinggal tak jauh dari rumah saya dan selalu berjumpa di surau. Malah ketika anak nye baru hilang, dia masih lagi dapat menghadiri majlis tahlil dan doa selamat di rumah saya pada 2 minggu yang lepas dan sempat bergurau senda dengan saya. Ketika itu dia sangat berharap yang anak nye masih lagi hidup dan dua kali jemaah surau mengadakan solat hajat. Katanya isteri dia selalu menangis tak kira masa. pagi, petang dan malam. Semoga keluarganya tabah menerima dugaan ini......

Berikut adalah berita kejutan yang disiarkan pada HARI INI di surat khabar.




Tempat mangsa dibakar berhampiran tanah perkuburan Hindu di Masai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 4 Julai - Seorang remaja perempuan berusia 16 tahun ditemui mati dalam keadaan tragis, dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan semalam.

Nurrahayu Qomarodin yang mendapat taraf penduduk tetap (PR) dilaporkan hilang dari rumah sejak 18 Jun lalu oleh ibu bapanya yang mengusaha kantin di sebuah kuari di Masai.

Bagaimanapun, petang semalam, polis menemui petunjuk bahawa mayat remaja itu dibakar di dua lokasi berasingan iaitu di Sungai Tiram dan Tanah Perkuburan Hindu di Masai bertujuan untuk menghilangkan bukti.

Ketika ditemui, mayat mangsa hanya tinggal cebisan rambut, baju dan selipar di tanah perkuburan berkenaan antara pukul 4 dan 5 petang.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, berdasarkan laporan saksi, mangsa dikatakan dibawa lari oleh seorang lelaki pada hari kejadian dan sejak itu tidak pulang ke rumah keluarganya.

"Pihak polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapat maklumat daripada orang awam yang menemui cebisan rambut, baju dan selipar di sebuah tanah perkuburan Hindu di Masai.

"Berdasarkan siasatan kes ini, kita percaya kesemua barang bukti konsisten dengan kes kehilangan mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Susulan penemuan cebisan mayat tersebut, menurut Roslan, pihaknya menahan seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun yang bertugas di kuari tempat bapa mangsa mengusahakan kantin.

Katanya, suspek ditahan ketika cuba bersembunyi di sebuah kawasan semak di Ulu Tiram di sini, petang semalam.

"Suspek dipercayai pernah melihat mangsa di tempat kerjanya sedang mengira wang tunai. Bagaimanapun, punca sebenar mangsa dilarikan sebelum dibunuh masih disiasat dan sehingga kini kami masih menunggu hasil ujian patologi ke atas cebisan mayat mangsa," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati, suspek mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk melarikan orang, pecah rumah dan mendatangkan kecederaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat.

Utusan
5 Jul 2011


‘Saya yakin mayat Ayu’


JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan pelajar tingkatan empat, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badannya yang dikerat dan dibakar di dua lokasi termasuk di tanah perkuburan Hindu di Masai dan di ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, kira-kira 5 petang kelmarin.

Polis turut menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di pekan Seri Alam di Masai, selepas dihantar pulang teman lelakinya jam 2 pagi pada 14 Jun lalu. Ibu angkat Nurrahayu atau dikenali sebagai Ayu, Juliana Jumail, 35, berkata, dia tidak sangka anak kesayangan keluarganya itu ditimpa nasib malang apabila ditemui dalam keadaan menyayat hati, petang kelmarin.

“Ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk membuat pengecaman mayat selepas dihubungi polis, kami bukan saja bimbang, malah sebak mengenangkan nasib Ayu.

“Saya yakin mayat yang ditemui itu milik Ayu berdasarkan keadaan fizikalnya selain penyepit rambut bercorak bunga yang gemar dipakainya dijumpai di tempat kejadian,” katanya.

Juliana berkata, dia tidak sangka jenazah yang terbaring kaku di depan matanya adalah Ayu di mana pengecaman itu dilakukan berdasarkan keadaan fizikal gadis bertubuh kecil dan gemar memakai penyepit rambut.

Malah, menurutnya, keluarga kandung Ayu juga diminta ke hospital untuk membuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA) berikutan penemuan mayat itu.

UJI...bapa Ayu, Qomarodin Bajuri (berkopiah) hadir di HSA untuk ujian DNA.

“Sebelum kejadian, Ayu yang tinggal bersama saya di Taman Universiti di Skudai, berkelakuan pelik apabila menggosok baju sekolah dan mencuci kasut seolah-olah beria-ia hendak ke sekolah.

“Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang bertindak kejam membunuh Ayu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai dibunuh dengan kesan kerat di badan dan dibakar di dua lokasi berbeza iaitu di Tanah Perkuburan Hindu Masai serta di ladang sawit berhampiran Sungai Tiram, Ulu Tiram.

“Polis menjumpai serpihan tulang terbakar dan beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut jam 5 petang kelmarin.

“Hasil ujian DNA mendapati ia sepadan dengan mangsa.

“Berikutan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun selama tujuh hari bermula kelmarin dan kes disiasat mengikut Sekyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan,” katanya yang enggan mengulas sama ada gadis itu mangsa rogol.

Pada 2 Julai lalu, akhbar ini melaporkan kehilangan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun hilang di satu tapak pembinaan di pekan Seri Alam, 14 Jun lalu, selepas dihantar pulang oleh teman lelakinya. Nurrahayu pada mulanya menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit.

Ketika mendedahkan perkara itu, kakak mangsa, Wayaaliasanti, 19, berkata teman lelaki adiknya itu tidak mengendahkan rayuan Ayu supaya mengambilnya semula selepas meninggalkannya berhampiran tapak pembinaan.

“Teman lelaki adik menurunkannya di depan pondok pengawal keselamatan tapak pembinaan terbabit,” katanya.

myMetro
5 Jul 2011


Remaja hilang ditemui kena kerat, bakar

JOHOR BAHRU: Misteri kehilangan seorang remaja perempuan sejak tiga minggu lalu di Pekan Seri Alam di sini, terjawab apabila polis menemui beberapa anggota badan dikerat dan dibakar di dua lokasi berasingan di Masai dan Ulu Tiram, petang kelmarin.

Polis menemui anggota badan itu kira-kira jam 5 petang di sebuah perkuburan Hindu di Masai dan ladang sawit di Sungai Tiram, Ulu Tiram, dekat sini, dipercayai bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Universiti dekat Skudai, Nurrahayu Qomarodin Bajuri, 16.
Malah, polis menemui serpihan tulang selain pakaian milik remaja perempuan itu yang hilang dari sebuah tapak pembinaan berhampiran tempat kerja bapanya di Pekan Seri Alam, selepas dihantar pulang teman lelakinya kira-kira jam 2 pagi pada 14 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Roslan Zainuddin, ketika dihubungi mengesahkan penemuan mayat dipercayai mangsa dibunuh dengan anggota badan dikerat dan dibakar.

Katanya, polis menemui serpihan tulang terbakar serta beberapa bukti termasuk baju, seluar, selipar dan penyepit rambut dan hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mendapati ia sepadan dengan mangsa.

"Sehubungan itu, polis menahan reman suspek utama iaitu seorang pengawal keselamatan berusia 46 tahun mulai hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit bersalah," katanya yang enggan mengulas sama ada mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.

Sabtu lalu, media melaporkan kehilangan Nurrahayu secara misteri selepas dihantar pulang teman lelakinya. Namun, kakaknya, Wayaaliasanti, 19, mendedahkan mangsa dikatakan menjerit meminta teman lelakinya mengambilnya semula, tetapi tidak dihiraukan lelaki terbabit.

Berita Harian
5 Jul 2011


Ibu Angkat Harap Polis Dapat Tangkap Pembunuh Pelajar Perempuan Berusia 16 Tahun

JOHOR BARU: Ibu angkat kepada seorang pelajar tingkatan empat yang mati dibunuh dengan kejam meminta pihak polis berusaha sehingga tertangkapnya penjenayah tersebut.

Mayat Nurrahayu Qomarodin, 16, yang mati dibunuh dengan kejam telah ditemui di sebuah tanah perkuburan Hindu dekat Masai dalam keadaan terbakar dan dikerat-kerat.

"Nurrahayu sudah seperti anak kandung saya sendiri. Saya tidak menjangkakan sesuatu seperti ini boleh terjadi ke atasnya," kata Juliana Jumail, 35.

Menurut Juliana, Nurrahayu dan anak perempuan sulungnya berkawan rapat sejak mereka berusia 13 tahun kerana Nurrahayu sering kali bermalam di rumah mereka kerana kesempitan hidup.

"Bapanya sering bertukar pekerjaan dan tidak mempunyai pendapatan yang tetap dan saya tidak berasa keberatan langsung untuk menjaga Nurrahayu dan bapanya juga memberi restu dan izin," kata Juliana lagi.

Kata Juliana, sehingga ke saat ini, anak sulungnya itu tidak dapat menerima kenyataan yang kawan karibnya telah tiada.

"Dia banyak menghabiskan masa sendirian di dalam bilik dan enggan bercakap dengan sesiapa pun," kata Juliana lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Seri Alam, Ruslan Zainuddin berkata, pihak polis masih menyiasat motif di sebalik pembunuhan kejam Nurrahayu.

"Setakat ini pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 46 tahun untuk membantu siasatan," katanya.

Lelaki yang ditahan itu yang bekerja sebagai seorang pengawal keselamatan mempunyai lapan rekod jenayah pada masa lepas termasuklah menyerang, menculik dan mencuri.

Polis juga katanya masih menunggu laporan bedah siasat.

Adalah dipercayai, mangsa pada mulanya menjadi sasaran rompakan tetapi bagaimanapun telah dibunuh, kemudian dikerat dan dibakar di sebuah kawasan terpencil di di Sungai Tiram dekat sini.

Saki baki mayatnya kemudian telah dibawa ke tanah perkuburan tersebut dan kemudian telah membakar mayat mangsa sekali lagi.

mStar
5 Jul 2011



1 comment: